Siap Tahu

MARAN 26 Julai - ''Menggigil badan saya. Sebak pun ada semasa membantu pihak bomba mengumpul cebisan daging dan perut mangsa yang berselerakan ak ibat kemalangan.''
Itu yang diceritakan oleh seorang saksi, Azmi Mohamad, 42, mengenai pengalamannya membantu mangsa kemalangan maut di hadapan Kompleks Rakan Muda di sini hari ini.
Menurut Azmi, ketika kemalangan pada pukul 1.30 tengah hari itu, dia sedang minum di kedai berhampiran.
''Tiba-tiba seorang rakan menghubungi dan memaklumkan tentang kemalangan antara kereta Perodua Kenari dengan lori kontena yang menyebabkan lima sekeluarga terkorban.
''Saya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati semua mayat berada dalam keadaan mengerikan termasuk seorang bayi tercampak ke dalam longkang,'' katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Dalam kemalangan itu, lima beranak termasuk seorang bayi lelaki berusia 10 bulan terbunuh selepas kenderaan Perodua Kenari yang mereka naiki dirempuh dan diseret sejauh kira-kira 80 meter oleh sebuah lori kontena di Jalan Kuala Lumpur - Kuantan berhampiran Kompleks Rakan Muda di sini hari ini.
Menurut Azmi, keadaan semua mangsa amat menyedihkan kerana selain tersepit dan patah anggota badan, ada yang terburai isi perut.
''Saya amat simpati dengan semua mangsa dan tanpa memikirkan apa-apa, saya segera membantu mengutip cebisan daging dan mengangkat mayat,'' ujarnya.
Sementara itu, Alias Harun, 43, abang sulung mangsa yang terbunuh, Fatmawati Harun, ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Bandar Jengka di sini berkata, dia tidak menyangka kejadian seperti itu akan menimpa keluarganya.
''Semalam saya dan mereka makan tengah hari bersama seperti kebiasaan yang dilakukan setiap kali cuti hujung minggu.
''Malah arwah Fatmawati juga memaklumkan kepada kami bahawa dia sedang mengandung dua bulan anak keduanya,'' ujarnya yang merupakan seorang anggota polis.
Katanya, dia dimaklumkan semasa kejadian, kesemua mangsa dalam perjalanan pulang selepas menikmati makan tengah hari di sebuah kedai di sini.
''Fatmawati yang sedang mengandung mengalami alahan sehingga tidak boleh memasak. Jadi dia telah mengajak emak untuk makan di luar.
''Bagaimanapun, saya sekeluarga reda dengan apa yang telah berlaku,'' ujar anak sulung daripada tujuh beradik itu.

0 Comments:

 

blogger templates 3 columns | Make Money Online